Perkataan “batu” pula paling kerap disebut di dalam trek “Batu Belah Batu Konkrit (Bonda)” selepas penggunaannya di dalam lagu “Gurindam Hutan Batu” yang merujuk kepada dunia moden dengan dirian bangunan serba konkrit yang sedikit sebanyak meninggalkan senibina tradisional dan amalan lama. “Batu Belah Batu Konkrit”, satu permainan kata yang diwujudkan dari inspirasi kisah klasik, Batu Belah Batu Bertangkup tentang rajuk si ibu terhadap anak-anaknya sehingga dia mahu mati ditelan batu berpuaka, cuma di sini si bonda tidak hanya membayangkan seorang ibu, mungkin juga merujuk kepada alam. ‘Batu’ dicipta untuk mewujudkan maksud kemodenan dan globalisasi. Kita amat galak mengejar kemodenan hingga ia menelan ibunda kita, kita boleh maksudkan ia sebagai budaya, alam, tanah pusaka dan adat resam tinggalan nenek moyang.
“Ke mana hilang budaya? Diculik piring terbang? Atau ditelan buaya?” pertanyaan loQue buat pendengar lagu Melayu hari ini. Piring terbang boleh memberi pelbagai makna. Istilah ini sememangnya telah didaftarkan di dalam Kamus Dewan bermakna ianya telah diterima oleh masyarakat Melayu sejak era lepas perang. Piring terbang membawa kita memandang ke langit, kerana dasarnya ia membawa maksud penculikan oleh makhluk asing (atau unsur asing yang datang ke tanah Malaya sekian lama tanpa kita sedari yang lama-kelamaan telah sebati menjadi sebahagian dari diri kita sendiri). Piring terbang juga ialah istilah yang membayangkan kemodenan, sesuatu yang membuatkan kita sedikit demi sedikit meninggalkan amalan tradisi yang dirasakan sudah agak ketinggalan di masa kini. Tetapi percampuran prosa klasik dan istilah baru dalam satu karya ini tak seharusnya mendatangkan rasa keliru buat pendengar. “Kita tak seharusnya berada di takuk yang lama,” jelas loQue tentang penulisan liriknya atau lebih mendalam lagi, apa yang kita semua maklum sebagai muzik Malaysia. Karya-karya kita, sastera, muzik dan budaya perlu melalui evolusi. Melihat ke hadapan dan dalam masa yang sama tidak meninggalkan ciri-ciri lama yang telah menjadi sebahagian dari diri kita.
petikan dari “Jejak Tanah: Sebuah Karangan oleh Nazri Ahmadeus”, 20.11.2011
20.11.2011. Monoloque , Jejak Tanah bersiaran hari ini.
6 months ago • 6 notes